Descargar vídeo Duración: 10:24
http://akidah.sementoji.net Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Syarah Kitab Muqaddimah Akidah Muslimin siri 4. Kepentingan manusia terpelihara dengan hanya menyerah diri kepada Allah. Dengan rahmatnya, Allah tidak melepaskan manusia bersendirian.Mereka diutuskan rasul-rasul yang diwahyukan kepada mereka dengan ajaran Allah dan hukum-hukumnya. Allah menerangkan dalam surah al-Nahl, ayat 36, وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ "Dan Sesungguhnya Kami telah mengutus Dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut." Allah menjelaskan lagi dalam surah Ibrahim, ayat 4, وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ رَسُولٍ إِلا بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ " Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan Dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka." Islam yang dibawa oleh nabi-nabi dan rasul-rasul adalah sama pada prinsipnya yang berbeza hanya cabang syariat. Ia berdasarkan keperluan umat mengikut zaman masing-masing. Syariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad adalah lebih luas dan menyeluruh daripada syariat rasul-rasul yang sebelumnya. Nabi Muhammad diutuskan buat seluruh umat manusia dan jin sehingga Hari Kiamat. Manakala rasul-rasul sebelumnya diutus hanya bagi kaum mereka. Nabi kita, Muhammad disempurnakan dengan risalah dan kenabian serta disempurnakan agama dengan selengkapnya. Allah menerangkan dalam surah al-Maidah, ayat 3, الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ دِينِكُمْ فَلا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإسْلامَ دِينًا "Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu." Abu Hurairah meriwayatkan, Nabi Muhammad pernah bersabda, "Bandingan antara aku dan nabi-nabi sebelum aku ibarat seorang yang membina rumah. Dia membina dengan baik dan cantik, tetapi ada sekeping batu bata yang masih belum diletakkan di satu sudut. Kemudian orang ramai mengelilingi rumah itu dengan kagum melihatnya, lalu mereka berkata, "Mengapakah tidak diletakkan batu bata ini." Nabi Muhammad berkata lagi, "Akulah batu bata itu dan aku adalah penutup segala Nabi." Hadis sahih riwayat Bukhari Muslim. Islam yang dibawa oleh rasul-rasul yang terdahulu sudah dilupai, dipinda dan diselewengkan. Ini menyebabkan berlaku penyelewengan di kalangan pengikut yang kebelakangan dalam akidah, ibadat dan akhlak. Keadaan ini berterusan sehinggalah Nabi Muhammad dibangkitkan. Nabi yang diwahyukan dengan al-Quran dan mengemukakan sunnah yang teguh, matang dan tidak mungkin lagi dikelirukan. Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad menjelaskan segala masalah kehidupan manusia. Ia berkaitan dengan akidah, ibadat, politik, ekonomi, sosial, perdamaian dan peperangan. Al-Quran dan sunnah juga menerangkan segala hukum yang perlu dalam seluruh kehidupan manusia tanpa mengira bangsa, tempat dan masa. Kuliah Jumaat, 16 Mei 2008, Masjid Rusila, Marang.